Zainul Rijal Abu Bakar

May 17, 2012

Kenyataan Akhbar PPMM

Filed under: Uncategorized — Zainul Rijal @ 1:59 pm

KENYATAAN AKHBAR PERSATUAN PEGUAM PEGUAM MUSLIM MALAYSIA

PERSATUAN PEGUAM PEGUAM MUSLIM MALAYSIA (PPMM) membantah program Irshad Manji yang dikatakan akan dijalankan di Universiti Monash Bandar Sunway pada hari Jumaat 18 Mei 2012 antara jam 1 hingga 2 tengahhari yang bertajuk ‘ Moral Courage: Creating Space for Islam & Democracy’. Pihak Universiti Monash melalui Encik Mohamed Ismail pula menafikan ada seminar dianjurkan oleh Sekolah Sastera dan Sains Sosial pada Hari Jumaat 18 Mei 2012 tersebut.

Sebelum daripada ini usaha beliau untuk berceramah di Universiti Islam Antarabangsa juga telah gagal malah di Indonesia juga beliau tidak dialu-alukan.

Selain tidak menghormati waktu solat Jumaat bagi orang Islam Irshad Manji dengan gahnya mengatakan lelaki Islam juga dialu-alukan hadir kerana solat Jumaat tersebut boleh dibuat bila-bila masa sahaja dan ia merupakan ciptaan manusia sebagaimana terdapat di dalam tweeter beliau. Ia memberi gambaran bahawa program beliau adalah lebih penting daripada solat Jumaat.

Irshad Manji mengaku sebagai seorang lesbian cuba mengenengah pendirian liberal beliau kepada masyarakat Malaysia. Ia juga seolah-olah cuba menjuarai isu kebebasan seks dan moral dan mahu menjadikan ia norma masyarakat Malaysia walaupun jelas bertentangan dengan agama Islam. Tulisan-tulisan Irshad Manji banyak yang mengelirukan dan tersasar dari Hukum Syarak. Malah acapkali dilihat sebagai mempertikai atau menghina agama Islam.

PPMM mendesak Kerajaan tidak membenarkan beliau meneruskan program tersebut dan meninggalkan Malaysia dengan kadar segera kerana ia boleh menjadi barah kepada pengamalan agama Islam di Malaysia. Perbuatan beliau yang jelas bertentangan dengan norma dan budaya Malaysia tidak dialu-alukan.

PPMM juga mendesak Kerajaan agar memberi perhatian serius terhadap segala usaha yang menghakis kedaulatan dan kesucian Islam di Malaysia. Sejak kebelakangan ini pelbagai pihak sudah berani mengabaikan isu moral dan akhlak dan mengajurkan kebebasan diri secara mutlak. Hal yang sedemikian perlu diperbetulkan oleh semua pihak. PPMM juga menyeru para ulama menyediakan hujah menyanggah tulisan-tulisan Irshad Manji secara ilmiah agar pembaca beliau tidak aka terkeliru dengan tulisan beliau dan diberi penerangan secukupnya mengenai keindahan agama Islam.

PPMM juga mendesak Universiti Monash mengesahkan samada program tersebut akan diadakan di dalam premis universiti tersebut atau tidak samada dianjurkan oleh pihak Universiti ataupun pihak lain yang menggunakan kemudahan Universiti tersebut.

Akhirnya PPMM mengajak semua masyarakat Islam agar berdoa supaya Irshad Manji akan diberikan hidayah oleh Allah swt dan kembali ke pangkal jalan.

DATO HAJI ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

PRESIDEN

PERSATUAN PEGUAM PEGUAM MUSLIM MALAYSIA (PPMM)

17 Mei 2012

Negara Hibrid…

Filed under: Nukilanku..... — Zainul Rijal @ 11:11 am

Kemelut kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan kembali menjadi perbahasan hangat di kalangan masyarakat Malaysia kali ini. Mungkin disebabkan suasana politik tanah air yang menghampiri Pilihanraya Umum ke 13 membuatkan ianya mengambil tempat utama di dada-dada akhbar. Ini berikutan cadangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan bahawa jika Pakatan Rakyat memerintah Perlembagaan Persekutuan akan dipinda bagi menzahirkan Islam sebagai ‘Addin’ berbanding dengan keadaan sekarang yang meletakkan Islam sebagai ‘agama rasmi’ sahaja.

‘Addin’ yang dirujuk oleh Presiden PAS ini mungkin bermaksud Islam itu hendaklah dijadikan suatu cara hidup di dalam Perlembagaan Persekutuan dan segala apa yang bertentangan dengan Islam adalah juga bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Namun hasrat ini ditempelak oleh Pengerusi DAP Karpal Singh dan Presiden MCA Datuk Seri Chu Soi Lek. Mereka menegaskan bahawa ciri-ciri sekular Perlembagaan Persekutuan mestilah dipertahankan dan membangunkan negara teologi adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Mereka secara kerasnya menyanggah sebarang usaha meminda Perlembagaan Persekutuan bagi meletakkan Islam sebagai suatu cara hidup sebagaimana yang dimahukan oleh PAS.

Sejak dari dahulu lagi DAP memang sudah dikenali tidak menyokong sebarang usaha menegakkan Negara Islam di Malaysia. Malah menurut DAP ia juga tidak dipersetujui oleh pimpinan Pakatan Rakyat sehingga perkara tersebut langsung tidak dimasukkan di dalam Buku Jingga mereka.

Pemimpin UMNO pula dilihat begitu berhati-hati di dalam hal ini mungkin kerana tidak mahu menyinggung sensitiviti beragama di kalangan rakyat.

Hasrat murni Presiden PAS ini amatlah difahami kerana sebagai umat Islam kewajipan meletakkan Islam di tempatnya yang sebenar memanglah dituntut. Namun realitinya meminda Perlembagaan Persekutuan itu tidaklah semudah menukar pakaian seharian. Ia memerlukan persetujuan dan kompromi pelbagai pihak sebelum rang undang-undang meminda Perlembagaan Persekutuan tersebut dapat dibentang di Parlimen. Pemuda PAS pula tegas dengan pendirian mereka mahukan Islam dimartabatkan. Kepimpinan Pemuda PAS memang vokal di dalam isu ini walaupun ada kalanya tidak selari dengan pandangan pemimpin Pakatan Rakyat yang lain.

Sebagai pengamal undang-undang sivil dan syariah, saya mendapati syor yang dikemukakan oleh Presiden PAS tersebut adalah tersasar dari semangat Perlembagaan Persekutuan itu sendiri ataupun ia hasil dari kecetekan ilmu tafsiran Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menyebut Islam hanya sekadar ‘agama rasmi’ bagi Persekutuan. Tetapi ia menyebut ‘Islam adalah agama bagi Persekutuan’. Konotasi agama bagi Persekutuan mempunyai impak yang amat berbeza berbanding dengan agama rasmi. Apatah lagi ianyanya diperkukuhkan lagi dengan sumpah Yang Di Pertuan Agung ketika menaiki tahkta akan memelihara Islam pada setiap masa sebagaimana yang terdapat di dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.

Karpal Singh dan Chua Soi Lek juga terkeliru dengan mempertahankan sifat sekular negara. Di dalam Perlembagaan Persekutuan langsung tidak muncul perkataan ‘sekular’ di mana-mana seratus lapan puluh dua perkara dalam Perlembagaan Persekutuan. Malah frasa ‘tidak menafikan sifat sekular negara’ telahpun dibuang semasa baginda Ratu England berbincang dengan Raja Raja Melayu memuktamadkan Perlembagaan Persekutuan dulu. Sekular dalam maksud memisahkan agama dari sistem perundangan, kerajaan dan sebagainya tidak terpakai di Malaysia kerana banyak perkara mengenai keistimewaan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dikecapi sepanjang zaman.

Pada pandangan saya adalah tidak benar negara kita adalah bersifat sekular atas alasan yang disebutkan di atas. Malah Prof Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, pakar Perlembagaan yang terkemuka di Malaysia juga menafikan Perlembagaan Persekutuan bersifat sekular. Di dalam bukunya yang bertajuk ‘Document of Destiny” Shad Saleem Faruqi mengatakan Malaysia adalah sebuah negara hybrid iaitu tidak sekular tetapi tidak bersifat teologi sepenuhnya kerana banyak perkara agama masih tidak diamalkan lagi.

Dalam hal yang demikian saya berpandangan bahawa pengisian yang betul patut diberikan kepada pentafsiran Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Sekiranya tafsiran yang betul ini diberikan maka jalan sukar untuk meminda Perlembagaan Persekutuan ini dapat dielakkan. Panduan yang jelas juga boleh didapati dari kes-kes terkini yang diputuskan oleh mahkamah tertinggi negara. Hanya bergantung kepada satu keputusan di dalam kes Che Omar Che Soh sahaja merupakan suatu pendekatan yang tempang kerana kes-kes terbaru Mahkamah Persekutuan telah memutuskan sebaliknya seperti di dalam kes Lina Joy, Meor Atiqurrahman, Latifah Mat Zain dan Sulaiman Takrib. Penghakiman kes-kes di atas perlu dikaji bagi memberi impak sebenar kepada pengamalan Islam dalam negara.

Saya amat yakin bahawa setiap umat Islam yang benar-benar yakin dan beriman kepada Allah sudah pasti akan mencari jalan bagaimana meletakkan Islam di tempat sebenarnya. Islam itu tinggi dan tiada suaatupun yang lebih tinggi daripadanya.

Mungkin ada yang mengatakan bahawa perbezaan menegakkan Islam ini hanyalah pada manhajnya sahaja dan tidak perlu digembar-gemburkan. Namun manhaj ini amat penting demi memacu kejayaan di dalam pelaksanaannya. Realiti sekarang ialah amat sukar untuk mendapat persetujuan dua pertiga daripada dua ratus dua puluh dua orang ahli Parlimen yang terpilih bagi meminda Perlembagaan Persekutuan itu. Pekenan Raja-Raja Melayu juga perlu diperolehi terlebih dahulu kerana ia melibatkan agama Islam yang mana baginda Raja-Raja Melayu adalah ketuanya.

Keperluan perundangan ini sudah pasti akan menyukarkan pindaan Perlembagaan khususnya apabila sudah terdapat beberapa ahli parlimen bukan Islam yang telahpun menzahirkan tentangan mereka terhadap cadangan pindaan itu. Oleh yang demikian alternatif lain perlu diterokai bagi membuahkan hasil yang sama.

Usaha yang mantap ke arah ini perlu dilakukan dan bukan hanya gimik di kala pilihanraya sahaja. Ia bukan hanya retorik tetapi perlukan pengisian yang jitu oelh pelbagai pihak. Seharusnya semua umat Islam dapat duduk bersama bermuzakarah di dalam menangani isu-isu Islam secara kolektif.

Datuk Zainul Rijal Abu Bakar adalah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

May 14, 2012

Ganti Majlis Peguam - Utusan Malaysia

Filed under: Aku Di Dada Akhbar — Zainul Rijal @ 9:54 pm

Ganti Majlis Peguam

KUALA LUMPUR 13 Mei - Beberapa lagi ahli Majlis Peguam meminta dipercepatkan penubuhan Akademi Undang-Undang sebagai badan alternatif kepada Majlis Peguam kerana badan yang ada sekarang telah menyimpang jauh daripada peranan sebenar menjaga profesionalisme amalan guaman di negara ini.

Peguam, Nordin Yusoff berkata, satu badan alternatif diperlukan kerana Majlis Peguam telah tersasar daripada tanggungjawab utama untuk menjaga kebajikan peguam dan memartabatkan profesion undang-undang di negara ini.

Katanya, keputusan terburu-buru Majlis Peguam mengeluarkan resolusi menghentam Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai perhimpunan haram Bersih 3.0 bulan lalu merupakan bukti jelas pertubuhan itu telah menjadi perkakas politik terhadap pihak yang berkepentingan.

“Saya menyokong cadangan penubuhan Akademi Undang-Undang kerana ia telah pun dilakukan di Singapura dengan Ketua Hakim Singapura mengetuainya dan majlis peguam di negara itu terletak di bawah akademi tersebut.

“Saya difahamkan draf undang- undang bagi cadangan penubuhan akademi undang-undang pernah dikemukakan di negara ini tetapi ditolak sekeras-sekerasnya oleh Majlis Peguam yang masih mahu memonopoli amalan guaman,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz bersetuju dengan tuntutan golongan peguam yang mahu membentuk organisasi baru bagi mempertahankan profesion, kebajikan dan kepentingan guaman.

Jelas Nordin, menerusi Akademi Undang-Undang, Majlis Peguam atau persatuan-persatuan peguam lain boleh tertakluk di bawah akademi tersebut bagi memastikan ketelusan dan integriti amalan guaman di negara ini terjamin.

Katanya, dalam banyak perkara, Majlis Peguam telah dilihat membuat keputusan yang berat sebelah dan membelakangkan pandangan majoriti kira-kira 14,000 ahli majlis tersebut di seluruh negara.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar turut bersetuju dengan penubuhan akademi itu untuk mengelakkan amalan birokrasi dan monopoli di dalam Majlis Peguam.

‘‘Di Malaysia, hanya ada satu Majlis Peguam yang memonopoli semua perkara dan ia dikawal oleh kelompok orang tertentu.

‘‘Bukan saya hendak menafikan usaha-usaha perjuangan hak asasi manusia yang dilakukan Majlis Peguam tetapi kalau kita lihat di Singapura, Majlis Peguam di sana lebih banyak dan ke hadapan dalam menjaga hal-hal kebajikan para peguam,’’ katanya.

Katanya, jika dinilai amalan di United Kingdom pula, peguam di negara tersebut boleh memilih untuk menganggotai mana-mana empat persatuan peguam di negara berkenaan.

‘‘Hendak atau tidak, peguam di Malaysia terpaksa menjadi ahli Majlis Peguam untuk mengamalkan profesion undang-undang sedangkan banyak pandangan yang dikeluarkan pertubuhan itu yang kita tidak sependapat terutamanya membabitkan isu-isu Islam,’’ katanya.

Jelas Zainul, sebagai alternatif lain, terdapat juga negara yang persatuan peguamnya diterajui sendiri oleh Peguam Negara.

Sementara itu, menurut seorang lagi peguam, Abu Backer Sidek berkata, beliau menyokong agar badan alternatif kepada Majlis Peguam diwujudkan untuk membolehkan peguam mengamalkan profesion undang-undang secara lebih profesional tanpa elemen politik tertentu.

‘‘Saya sudah pun mengusulkan cadangan untuk menubuhkan Majlis Peguam Persekutuan Malaysia (MPPM) dan menerusi pertubuhan ini, ahlinya perlu bebas daripada pengaruh mana-mana parti politik.

‘‘Saya sebenarnya tidak boleh lagi bersabar dengan pandangan Majlis Peguam yang menyokong perhimpunan Bersih dan banyak lagi perkara lain yang tidak semua majoriti ahli Majlis Peguam bersetuju,’’ katanya.

Katanya, orang ramai boleh mengutarakan pendapat bagi cadangan penubuhan badan alternatif MPPM tersebut di laman web http://www. mppm2012.blogspot. com.

May 2, 2012

Keruntuhan Institusi Keluarga

Filed under: Aku Di Dada Akhbar — Zainul Rijal @ 10:48 pm

PETANDA KERUNTUHAN INSTITUSI KELUARGA

Kerapuhan institusi kekeluargaan di Malaysia telah menyumbang kepada keruntuhan akhlak khususnya di kalangan orang Islam. Sejak kebelakangan ini pelbagai kecelaruan telah timbul di dalam susun atur dan jaringan institusi kekeluargaan Islam sehingga seolah-olah sudah menjadi norma anak-anak tidak menghormati ibubapa mereka sebagaimana terdahulu.

Sering  dilaporkan di media-media sekarang ini suatu trend sperti anak-anak sudah mula memfailkan tindakan di mahkamah terhadap kedua ibubapa mereka. Ruangan ini kali ini bukanlah mahu menyebelahi mana-mana pihak tetapi meneliti kedudukan dari sudut hukum syarak supaya dapat difahami oelh masyarakat.

Sebenarnya tiada dalil  secara spesifik yang melarang atau menyuruh melakukan prosedur demikian, maka ia terbuka kepada maslahah mursalah. Ia pada umumnya adalah bersifat maslahah yang sekiranya tanpa prosedur tersebut, kemungkinan sesuatu pertikaan sukar untuk diadili. Di Negara kita pula, saman merupakan salah satu dari prinsip-prinsip prosiding yang mesti diikuti. Ia bertindak sebagai sebuah perintah agar seseorang yang dituduh hadir ke mahkamah untuk mengetahui pendakwaan yang dibuat oleh pendakwa.

Bolehkah anak menyaman ibu bapanya

Asalnya hukum bagi isu seperti ini adalah harus kerana  terdapat hak yang sepatutnya dimiliki oleh seorang anak tidak sampai ke tangan mereka.  Umpamnya dalam kes seorang ibu meninggal dunia dan meninggalkan sejumlah harta. Harta tersebut sepatutnya  perlu dibahagikan mengikut kaedah faraid. Akan tetapi, ayah mereka yang masih hidup enggan memberikan hak faraid kepada anak-anak  itu.

Walaubagaimanapun, terdapat hadis yang bermaksud:: Dari Jabir r.a, Sesungguhnya seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w:”sesungguhnya aku mempunyai harta dan anak, dan bapaku (pula) hendak menyapu hartaku. Lalu Nabi menjawab: “Bapa kamu berhak terhadap kamu dan harta kamu”.

Hadith di atas secara literalnya boleh difahami dengan cara yang salah jika pembaca tidak berhati-hati terhadap maksud dari sudut nahunya. Mungkin pembaca boleh memahami bahawa hadith di atas memberi lampu hijau kepada para bapa untuk mengambil harta anak-anak sesuka hati, bukan hanya harta, bahkan diri anak itu sendiri kerana andaiannya harta dan anak adalah miliknya.

Sebenarnya Rasulullah s.a.w tidak membiarkan hadith itu begitu sahaja, tetapi terdapat sebuah lagi riwayat yang sahih berkenaan seorang lelaki arab badwi ketika bertemu Rasulullah s.a.w. hadith tersebut

bermaksud: Sesungguhnya seorang arab badwi telah datang pada Nabi s.a.w seraya berkata: “Sesungguhnya ayahku selalu menyapu hartaku”. lalu Nabi menjawab: “Kamu dan harta kamu berhak ke atas bapa kamu, yang terbaik dari apa yang kamu makan adalah dari apa yang kamu hasilkan sendiri, dan anak-anak kamu adalah dari hasil kamu, maka berilah mereka kebahagian.”

Hadith di atas menerangkan berkenaan dengan aduan lelaki arab badwi yang mendakwa bapanya selalu mengambil hartanya. Walaupun bapanya berhak terhadap harta tersebut, Rasulullah turut menegur agar mendapat harta itu biarlah dari hasil usaha sendiri dan bukannya diambil dari orang yang lain.

Imam al-Syaukani semasa memberi komentar terhadap hadith di atas, beliau memberi penjelasan yang cukup baik. katanya:

“hadith di atas memberi pengertian bahawa lelaki tadi berkongsi harta dengan anaknya, oleh itu, bapa boleh menggunakan harta tersebut sama ada dengan izin atau tidak. Harus juga si bapa menguruskan harta si anak seperti mana si bapa menguruskan hartanya sendiri selagi mana ia memenuhi hajat si anak tadi. Tidaklah boleh si bapa sesuka hati menggunakan harta anaknya dengan cara membazir dan suka-suka”

Dari hadith-hadith di atas, dapat kita fahami bahawa seseorang anak boleh mendakwa bapanya sekiranya terdapat penyelewengan yang dilakukan terhadap haknya. Ini apabila lelaki arab badwi tersebut datang bertemu nabi bercerita berkenaan hal bapanya yang suka mengambil hartanya. Adapun soal benar atau tidak tindakan bapa itu, itu terserah kepada kebijaksanaan hakim memberi keputusan.

Hak Anak-Anak Ke Atas Ibu Bapa

Bagi anak-anak juga punya hak yang perlu dilunaskan oleh ibu dan bapa mereka. Hak-hak yang digariskan oleh Islam itu sangat terperinci. Sejak si bapa mencari calon isteri yang baik sehinggalah anak-anak mendapat didikan agama yang baik selain makan minum terjamin. Antara hak-hak anak oleh ibu bapa adalah seperti berikut:

Mengajar Adab dan Sifat Mulia:

Setiap ibu-bapa mesti melatih anak-anak mereka dengan sifat mulia dan adab sopan, sama ada kepada Allah, Nabi Rasulullah (SAW), dan dengan sesiapa yang mereka kenal dan ada hak atas mereka. Mereka tidak sepatutnya berperangai buruk dengan siapa yang mereka bergaul, jiran mereka atau kawan mereka.

Al-Nawawi berkata“Si ayah mesti mendisiplinkan anak-anak nya dan mengajar mereka apa yang dia perlu tahu akan tanggungjawab agama. Pendidikan ini adalah wajib kepada si ayah dan semua mereka yang menjaga anak-anak sebelum anak-anak itu mencapai usia remaja.”


Bapa mesti membesarkan anak-anaknya  dengan adab mulia dalam semua perkara, makan, minum, berpakaian, tidur, keluar dari rumah, masuk ke rumah, memandu kenderaan, dan sebagainnya, dan dalam semua hal-ehwal mereka. Dia mesti mengasuh mereka dengan sifat manusia baik, seperti suka berkorban, mengutamakan yang lain, menolong orang, adab mulia dan sifat dermawan. Dia mesti menjauhkan mereka dari sifat buruk seperti sifat penakut, kedekut, adab buruk, kurang cita-cita, dan sebagainya.



Walaupun kesimpulannya anak mempunyai hak untuk menuntut keadilan di mahkamah daripada ibubapanya namun perkara ini perlulah dibuat dengan penuh adab. Allah melarang seorang anak walaupun berkata ‘uh” kepada kedua ibubapanya. Imbangan ini amat penting di dalam menilai setiap tindakan yang bakal diambil oleh anak-anak terhadap bapanya. Hal ehwal kekeluargaan sepatutnya di bawa ke mahkamah kerana ia hanya akan membuka pekung keluarga berkenaan. Dalam hal yang demikian kedua pihak perlu menghayati pengorbanan kedua belah pihak bersemuka dalam semangat kekeluargaan yang didasari oleh keimanan yang mantap bagi menyelesaikan sebarang permasalahan. Walaupun mempunyai hak yang kukuh seorang anak perlu menghormati kedua orang tuanya di dalam isu saman menyaman ini. Ia perlu dilakukan dengan penuh berhati hati bagi tidak menjejaskan tahap penghormatan seorang anak kepada ibubapanya.

Penulis adalah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia dan merupakan Professor Adjung Universiti Multimedia Malaysia,



April 19, 2012

KENYATAAN AKHBAR PPMM

Filed under: Aku Di Dada Akhbar — Zainul Rijal @ 11:49 pm

KENYATAAN AKHBAR PERSATUAN PEGUAM PEGUAM MUSLIM MALAYSIA

TARIKH:  20 APRIL 2012

CABARAN TERHADAP FATWA DI MAHKAMAH

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) bersetuju dengan tindakan Kerajaan Negeri Kedah yang meluluskan  pindaan  undang-undang untuk menghalang fatwa yang diputuskan mufti atau jawatankuasa fatwa, sama ada diwartakan atau tidak, daripada dicabar, dirayu, disemak mahupun dipersoal dalam mahkamah sivil atau syariah. Peruntukan dalam Rang Undang-undang Mufti dan Fatwa (Kedah) (Pindaan) 2012 itu dibentangkan dalam sidang DUN Kedah bagi menggantikan Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 (Enakmen 10) dengan memasukkan Fasal 22A yang berbunyi ‘Walau apapun undang-undang bertulis atau rukun undang-undang yang berlawanan, fatwa yang telah diputuskan oleh mufti atau Jawatankuasa Fatwa samada diwartakan atau tidak hendaklah dipatuhi dan tidak boleh dicabar, dirayu disemak dinafikan atau dipersoal dalam mana-mana mahkamah sivil atau syariah.’

Tindakan tersebut hanyalah merupakan suatu penegasan semula tentang kedudukan Mufti di sisi undang-undang. Ia juga selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di dalam kes ESQ mlwn Mufti Wilayah Persekutuan yang memutuskan fatwa mufti tidak boleh dicabar di mahkamah sivil. Malah di dalam kes Mahkamah Persekutuan iaitu Sulaiman Takrib mlwn Kerajaan Negeri Trengganu Mahkamah Persekutuan memutuskan institusi kemuftian ini adalah sah disudut Perlembagaan Persekutuan dan tidak langsung bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Seksyen 7(1) Enakmen Mufti Dan Fatwa (Negeri Kedah) 2008 menyatakan Mufti  hendaklah membantu dan menasihati  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan berkenaan semua perkara Hukum Syarak dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di Negeri Kedah Darul Aman selepas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan kecuali jika diperuntukkan sebaliknya dalam Enakmen tersebut.

Sekyen 7(2) pula menyatakan Mufti  hendaklah  bertanggungjawab terus Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Baginda bolehlah dari masa ke semasa memberi perintah sama ada secara am atau khas yang  Baginda fikirkan perlu atau bermanfaat iaitu perintah yang tidak berlawanan dengan peruntukan Enakmen ini dan adalah menjadi kwajipan Mufti mematuhi dan melaksanakan perintah itu.

Manakala Seksyen 8(1) menyebut Mufti hendaklah berkuasa mengeluarkan apa-apa fatwa. Seksyen 8(2) pula menyatakan walau apapun peruntukan Enakmen ini Mufti boleh sekira difikirkan perlu berbincang dengan Jawatankuasa Fatwa sebelum mengeluarkan apa-apa fatwa  di bawah seksyen ini.

Berdasarkan seksyen-seksyen yang disebut di atas adalah amat jelas Mufti adalah pihak berkuasa utama dalam hal ehwal hukum syarak selepas Sultan. Dalam hal demikian adalah amat tidak wajar fatwa mufti boleh dicabar di mahkamah sama ada mahkamah sivil ataupun mahkamah syariah. Ini adalah bagi menjaga kehormatan terhadap institusi kefatwaan tersebut. Sayugia diingatkan bahawa Jawatankuasa Fatwa terdiri dari pakar-pakar agama dan mereka juga boleh menjemput orang lain yang pakar dalam bidang masing-masing untuk memberi nasihat kepada Jawatankuasa Fatwa dalam hal-hal tertentu berbanding dengan mahkamah yang mendengar sesuatu kes secara adversarial sahaja.

PPMM amat tidak bersetuju dengan pandangan yang mendakwa tindakan Kerajaan Negeri Kedah ini menyamakan  fatwa seperti nas qat’i (nas yang putus) dalam Quran dan Sunnah sehingga tidak boleh dipertikaikan  yang mengakibatkan  terbunuhnya  intelektualisme rakyat. Ini adalah disebabkan bahawa sesuatu fatwa masih boleh dipinda atau dibatalkan sebagaimana yang dinytakan di dalam seksyen 23(1) Enakmen yang sama yang menyatakan Jawatankuasa Fatwa boleh meminda atau membatalkan mana-mana fatwa yang telah disiarkan di dalam Warta di bawah Enakmen tersebut.

Ia bermakna seseorang yang tidak berpuashati dengan sesuatu fatwa masih boleh merujuk kepada Jawatankuasa Fatwa memohon meminda atau membatalkan sesuatu fatwa. Ia akan dilakukan dalam suasana muzakarah  dengan  Jawatankuasa Fatwa yang berkuasa menentukan kaedahnya. Adalah amat tidak logik jika fatwa tersebut boleh dicabar di mahkamah kerana pendekatan di mahkamah adalah untuk berlitigasi dan bukan bermuzakarah.  Mahkamah Hakim Mahkamah Sivil pula langsung tidak terlateh di dalam Hukum Syarak manakala Hakim Mahkamah Syariah pula tidak dilatih dalam metodologi ifta’.

Fatwa masih boleh dikaji dengan bermuzakarah semula dengan Jawatankuasa Fatwa. Dengan semangat muzakarah ini suatu keputusan itu akan lebih dekat kepada Hukum Syarak berbanding jika ianya dibawa ke mahkamah. Dalam masa yang sama PPMM bersependapat dengan pandangan Mufti Negeri  Perlis Dr Juanda Jaya yang menyarankan  perlu ada keterbukaan dalam membuat sesuatu fatwa dan pada masa yang sama kita tidak boleh menafikan peranan ulil amri (pemerintah) mentarjih bagi memilih apa-apa pandangan.

Jika dibaca keseluruhan Enakmen Mufti Dan Fatwa (Negeri Kedah) 2008 ia sebenarnya meraikan pelbagai pandangan yang berbeza dan sesuatu fatwa itu masih bersifat anjal kerana ia masih boleh dipinda.  PPMM juga mengingatkan peranan fatwa bukanlah menentukan perkara yang sudah bersifat definitive (atau sudah putus) tetapi hanya di dalam perkara spekulatif sahaja (iaitu perkara yang belum diputuskan dengan nas yang qatie).

PPMM juga menggesa institusi mufti dan kefatwaan ini diperkasakan dengan memberi kuasa kepada mufti untuk memberi nasiat dan membuat teguran kepada mana-mana pihak, mempertingkatkan keupayaan dan prasarana institusi fatwa, membebaskan Mufti dari sebarang tekanan dan pengaruh politik atau individu tertentu. Bagi mempastikan kewibawaan institusi ini terus terpelihara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telahpun menetapkan halatuju yang sistematik melalui penggubalan bersama Pelan Strategik Jabatan-Jabatan Mufti Seluruh Malaysia 2010-2014 bagi memikul tanggungjawab menguruskan hal ehwal Islam dalam negara termasuklah mengadakan undang-undang khusus dan seragam untuk Mufti dan Pengurusan Fatwa.

Berbalik kepada isu yang dibicarakan di atas, PPMM sekali lagi menzahirkan sokongan kepada Kerajaan Negeri Kedah meminda Enakmen Mufti dan Fatwa (Negeri Kedah ) 2008 dan menegaskan jika ada mana-mana orang yang tidak bersetuju dengan mana-mana fatwa, mereka bolehlah berhujah secara muzakarah dengan Jawatankuasa Fatwa dan bukan mencabarnya di mana-mana mahkamah.

DATO HAJI ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

PRESIDEN

PERSATUAN PEGUAM PEGUAM MUSLIM MALAYSIA

SUBANG JAYA, SELANGOR

Adab dan Tatasusila

Filed under: Nukilanku..... — Zainul Rijal @ 6:38 am

Terlalu ghairah berpolitik sehingga  pinggir adab  Islam

SETELAH musim pilihanraya kecil terhenti kerana Parilimen dan Dewan Undangan Negeri telahpun melampaui tempoh tiga tahun, cakap-cakap politik kembali rancak kerana pelbagai spekulasi timbul tentang pilihanraya umum yang mesti dilakukan selewat-lewatnya pada tahun hadapan.  Pilihan raya umum kali  ini seperti pilihan raya-pilihan raya  terdahulu, sudah pasti akan mencetuskan persaingan sengit antara parti bertanding bagi tujuan merebut kerusi itu. Kebiasaannya tidak akan ketinggalan kempen mencemuh pihak lawan sebagai cara meraih undi parti yang bertanding. Acapkali persoalan akhlak, peribadi dan sebagainya mendapat perhatian istimewa di kalangan orang yang bertanding.

Tidak  dapat dinafikan adalah sebahagian daripada Islam. Islam tidak menyisih politik dari pemantauan agama. Rasulullah sendiri sangat  mahir berpolitik sehingga dapat menyatukan umat Arab yang bertelingkah antara satu sama lain selama beberapa kurun. Walaupun politik sebahagian daripada Islam, umat Islam kini seolah-olah menganggap politik adalah segala-galanya. Malah tidak keterlaluan jika kita katakan terdapat segelintir yang  berpandangan bahawa saluran politik saja yang dapat menegakkan agama Islam di Malaysia.

Pada pandangan saya,  arena politik hendaklah bersama-sama saluran lain seperti dakwah, kemasyarakatan, perundangan, pendidikan, ekonomi dan moral memartabatkan Islam. Politik saja mungkin tidak akan dapat mencapai standard negara Islam yang diacu oleh Rasulullah. Apa yang menyedihkan, hari ini umat Islam terlalu banyak berpolitik. Apa saja yang berlaku, neraca digunakan bagi memberi justifikasi adalah neraca politik. Hatta dalam  warna berpakaian pun neraca politik digunakan melihat kepada warna serta gaya pemakaian.

Inilah yang menyebabkan apabila satu pihak mengambil sesuatu pendekatan, pihak satu lagi pasti tidak bersetuju dan mengambil pendekatan berlainan. Ia dilakukan semata-mata kerana ingin berbeza dengan parti lawan.  Natijahnya, pembangunan Islam itu sendiri akan dikesampingkan malah, pembangunan negara juga tidak dapat dilakukan dengan sempurna kerana pemimpin lebih sibuk memikirkan hal politik berbanding pembangunan negara.

Amat sedih juga apabila diperhatikan dalam hal ehwal Islam seperti isu-isu yang berkaitan aqidah,  pemimpin Islam bertelagah serta berbeza pendapat. Bukan setakat berbeza pandangan tetapi memburukkan pihak lain yang tidak sependapat dengan mereka. Masing-masing mengatakan mereka yang benar dan pihak lain itu salah. Isu penggunaan kalimah Allah dI kalangan orang bukan Islam umpamanya adalah tamsilan yang nyata pemimpin politik meletakkan politik mengatasi kepentingan Islam.

Begitu juga dalam hal orang bukan Islam memasuki dan berceramah di surau yang menimbulkan perbahasan sehingga orang yang tidak mempunyai pengetahuan agama pun memberi pandangan akal mereka. Seharusnya para ulama perlu menzahirkan teladan permuafakatan di dalam sesuatu isu agama dan berpegang kepada prinsip selagi isu tersebut bukan merupakan suatu isu yang asas maka perbezaan pandangan adalah diraikan. Malah, dalam isu penggunaan wang hasil judi diberikan kepada warga emas Islam juga menjadi pertikaian antara parti politik. Hasilnya, Islam dilihat sebagai tidak seragam dan mengelirukan.

Perbezaan tersebut sepatutnya diraikan dengan hikmah berdasarkan adab ikhtilaf yang digariskan ulama terdahulu. Apa yang berlaku hari ini, kelapangan dada menerima pandangan berbeza itu sudah hilang dan adab berbeza pandangan sudah terlalu nadir. Apabila seseorang itu berbeza pandangan khususnya membabitkan persoalan politik, orang itu dicemuh dan dikritik secara melulu seolah-olah tiada sebarang manfaatnya. Perkara sedemikian berlaku kerana umat Islam meletakkan persoalan politik mengatasi ajaran Islam itu sendiri.

Prinsip hukum syarak yang mengajak kepada kehalusan budi dalam berbeza pandangan diketepikan dan objektif utama ialah untuk berada di puncak kekuasaan. Pendekatan sebegini hanya merugikan orang Islam. Sebagai orang Islam, walau apapun pegangan politik, Islam hendaklah diutamakan. Jika sesuatu itu dilakukan memberi kebaikan kepada agama dan negara, ia hendaklah disokong tanpa mengira siapa yang menzahirkan idea itu.

Bagi saya tidak salah bersepakat  di kalangan umat Islam yang mempunyai manhaj berlainan tetapi mempunyai matlamat yang sama berteraskan kepada Islam. Prasangka buruk dan saling tidak percaya antara satu sama lain sepatutnya diketepikan demi memartabatkan agama Islam dengan meletakkan Islam pada kedudukan tertinggi. Kedua-dua belah pihak dilihat tidak mahu berganjak daripada pendirian diambil kerana yakin kekuasaan akan menjadi milik mereka. Bagi saya, apalah guna kekuasaan jika tatkala kita memiliki kuasa itu kedudukan agama Islam sudah punah dan tidak dapat dibaiki lagi.

Kerosakan dilakukan sudah pasti akan sukar diperbaiki dan menunggu masa untuk musnah. Pada masa itu, kita sudah terlewat untuk menegakkan agama Islam kerana prasangka yang membara antara masyarakat Islam sendiri. Kerjasama politik antara parti politik Islam yang dicadangkan dan hebat diperdebatkan juga adalah manifestasi jelas kepentingan politik diletakkan mengatasi kepentingan agama.

Mungkin sudah tiba masanya kedua-dua belah pihak melupakan kisah pahit lama antara mereka dan memulakan lembaran baru mempertautkan hubungan hati ke hati demi untuk menegakkan syiar Islam di Malaysia. Segala kesilapan lalu mestilah diperbetulkan atas asas yang bina oleh agama. Apabila Islam dapat ditegakkan sudah pasti Malaysia akan menjadi aman damai kerana Islam itu sendiri agama perdamaian. Masyarakat bukan Islam pula tidak harus gusar dengan penyatuan umat Islam yang berteraskan Islam itu kerana perundangan Islam itu sendiri memberi jaminan kebebasan mengamalkan agama mereka dalam negara Islam.

Malah kerajaan Islam mempunyai tanggungjawab membantu rakyat minoriti bukan Islam bagi melaksanakan hal ehwal upacara keagamaan ereka. Oleh itu saya mengharapkan semua pihak meletakkan keutamaan yang betul di tempatnya. Politik adalah sebahagian daripada Islam dan Islam itu mencakupi semua aspek kehidupan. Pilihlah prinsip Islam yang menyeluruh, sudah pasti ia akan membimbing umat Islam cara berpolitik.

Penulis ialah Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan merupakan Profesor Andjung (Undang Undang) di Universiti Multimedia Malaysia.

April 5, 2012

Mengaruserdanakan Syariah - Utusan Malaysia 5 April 2012

Filed under: Aku Di Dada Akhbar — Zainul Rijal @ 7:45 pm

 

 

SECARA etimologi, syariah bererti aturan atau ketetapan yang Allah
perintahkan kepada hambaNya. Secara terminologi pula, syariah bermaksud
penerapan seluruh aspek kehidupan, sesuai ajaran Islam yang berkait dengan
masalah ibadat umum dan khusus yang dinisbahkan kepada sumber hukum Islam.
Mahmud Syaltut mendefinisikan syariah sebagai aturan yang ditetapkan Allah,
supaya manusia mengadaptasi aturan itu untuk mengatur hubungan dirinya dengan
Tuhannya dan hubungan dirinya dengan saudaranya yang Muslim dan saudara
kemanusiaannya (bukan Islam) serta hubungan dirinya dengan alam semesta dan
kehidupan.

Hal yang demikian dapatah difahami apabila Allah berfirman yang
bermaksud: “Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan dan
jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu
umat saja, tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya
kepadamu.” (Surah Al-Maidah, ayat 48)

Rasulullah pula pernah diriwayatkan sebagai bersabda yang
bermaksud: “Umat aku selalu berada di atas syariah, selama di
tengah-tengah mereka belum nampak tiga perkara iaitu selama ilmu belum dicabut
daripada mereka, selama di tengah-tengah mereka belum banyak anak zina serta
belum nampak di tengah-tengah mereka ‘al shaqqaruun.”

Sahabat pun bertanya: “Ya Rasulullah, apa ‘al shaqqaruun’
itu?” Rasulullah menjawab: “Manusia yang ada di akhir zaman yang mana
ucapan antara mereka adalah saling melaknat antara satu sama lain.”

Yusof al-Qaradhawi pula menegaskan ada enam ciri syariah Islam
iaitu:

1 Robbaniyah (ketuhanan) - oleh kerana ia bersifat ‘ketuhanan’ maka
seseorang Muslim tidak mempunyai alasan untuk menolak syariah kerana seorang
Muslim mesti meyakini hukum syariah yang paling adil dan sempurna.

2 Insaniyah (kemanusiaan) - syariah mengangkat martabat manusia
serta memeliharanya. Ia dicipta untuk manusia dan sesuai dengan kapasiti
manusia itu sendiri tanpa mengira ras, warna kulit atau status.

3 Syumuliah (komprehensif) - syariah Islam mengatur seluruh
kehidupan manusia dan tidak secara terpilih dalam bidang tertentu saja.

4 Akhlaqiah (peribadi mulia) - akhlak dan moral menjadi benteng
kepada keindahan syariah Islam kerana tujuan Rasulullah SAW diutus untuk
menyempurnakan akhlak yang mulia;

 

5 Waqiyyah (realistik) - syariah Islam adalah benar dan realistik,
tidak ketinggalan zaman, memacu kejayaan dan praktikal; dan

6 Tanasuq (keteraturan) - sifat saling lengkap melengkapi dalam
syariah menjadikannya suatu sistem atau tanzim yang terbaik kerana ia tidak
bertentangan antara satu sama lain.

Oleh demikian, syariah adalah satu cara hidup bagi umat Islam dan
ia tidak hanya perlu diamalkan mengikut bahagian tertentu saja. Namun dalam
pelaksanaan syariah tersebut kita perlulah teratur di dalam
mengimplementasikannya kerana khuatir ia akan mendatangkan fitnah balik
terhadap pelaksanaan syariah itu.

Menelusuri kepada sejarah pula, kita akan mendapati penjajahan
terhadap masyarakat Islam memberi kesan besar dengan meminggirkan sistem
kehakiman dan undang-undang syariah yang mana bidang kuasa syariah ini dihadkan
kepada undang-undang diri dan beberapa aspek kecil saja dan tidak berperanan
dalam kebanyakan aspek lain.

Pembebasan daripada penjajahan pula tidak secara automatik
membebaskan umat Islam daripada belenggu penjajahan itu sendiri kerana
benih-benih penjajahan sudah bersemadi dalam jiwa umat Islam sepanjang
penjajahan. Walaupun secara undang-undangnya negara telahpun merdeka namun
pemikiran dan ketaatan kepada penjajah masih utuh di dalam minda masyarakat.

Hasilnya alam dunia Islam kita sendiri akan mendapati orang Islam
sendiri menentang sebarang usaha mengarusperdanakan syariah. Walaupun sejak
berpuluh tahun lalu memang wujud gerakan mengarusperdanakan syariah di tempat
sepatutnya, usaha itu masih belum menampakkan kejayaan sepenuhnya lagi.

 

Hakikatnya, umat Islam lebih suka ditadbir di bawah undang-undang
syariah berbanding undang-undang asing yang dikenakan terhadap mereka. Syariah
tidak wajar diharmonikan dengan undang-undang lain tetapi undang-undang lain
itulah yang perlu diasimilasikan dengan syariah supaya tidak tergelincir
daripada landasan syariah. Tiada pilihan bagi umat Islam untuk memilih jalan
selain daripada Islam kerana umat Islam tidak teruja dengan kehebatan kemampuan
akal fikiran manusia. Ini disebabkan betapa hebat pun kemampuan akal fikiran
manusia, ia masih lagi di bawah taklukan dan kawalan Yang Maha Esa.

 

Begitu juga kebejatan akhlak, sahsiah diri dan tatasusila dalam
masyarakat adalah hasil pengasingan agama daripada kehidupan seharian. Jika
benarlah nilai hidup Barat itu yang terbaik kenapa masyarakat Barat sendiri
seolah-olah tercari-cari arah tujuan dan penanda aras bagi masyarakat mereka?

 

Walaupun begitu, bukanlah saya mengatakan semua yang datang dari
Barat itu tidak baik. Memang tidak dinafikan ada kebaikan dalam sesuatu
masyarakat itu tetapi kita perlu pandai mengutip yang baik, membezakan antara
kaca dan permata supaya tidak menghakis jati diri umat Islam sendiri. Dalam hal
demikian, sebenarnya segenap usaha perlu digembleng untuk mengarusperdanakan
syariah, bukan sekadar mengharmonikan syariah saja. Kita perlu menjadikan
syariah sebagai teras kehidupan dan bukan sebagai alternatif kepada sistem yang
ada di depan kita masa ini.

 

Penulis adalah Datuk Zainul Rijal Abu Bakar  Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim
Malaysia dan merupakan Professor Andjung Undang Undang di Universiti Multimedia
Malaysia.

 

 

April 4, 2012

Mempromosi LGBT secara tidak langsung

Filed under: Aku Di Dada Akhbar — Zainul Rijal @ 2:46 pm

KENYATAAN MEDIA

MEMPROMOSI SECARA TIDAK LANGSUNG LGBT

Pendahuluan

Bagi menjamin sebuah negara yang punyai jatidiri, teguh dan disegani kawan dan lawan, sudah tentu salah satu kriteria yang menjadi parameternya  adalah cara hidup masyarakat yang bertunjang kepada prinsip keagamaan yang kukuh juga memegang prinsip tatasusila dan kesopan sebaiknya selaraskan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara.

Seperti mana yang dimaklumi, Malaysia yang terleatak di benua Asia, sangat terkenal dengan budaya sopan, hormat menghormati dan masyarakat yang patuh pada agama, seeloknya ciri-ciri ini dikekalkan walaupun percaturan globalisasi serangan hedonisme barat terus melanda media-media massa  pada hari ini.

Hari ini, salah satu serangan pemikiran dan cara hidup yang perlu ditangkis secukupnya adalah isu Lesbian, Gay, Biseksual, Transeksual (LGBT) yang sehingga kini masih lagi diperkatakan. Ini ekoran adanya sebuah kumpulan yang tanpa segan silu memperjuangkan hak golongan berorientasikan LGBT ini. Golongan ini  dengan berani tampil dengan acara-acara tertentu bagi menuntut pihak kerajaan mengiktiraf cara hidup itu selain mengalihkan stigma masyarakat supaya LGBT ini menjadi norma masyarakat dan tidak lagi dianggap jijik. Hakikatnya LGBT adalah satu cara hidup yang sememangnya tidak diterima oleh mana-mana agama, tidak juga oleh manusia yang berakal sihat.

Kumpulan NGO-NGO Islam arusperdana  bangkit mempertahankan keharmonian bermasyarakat berasaskan prinsip undang-undang dan sakhsiah  Islam. Mereka bergabung dengan kekuatan Wahdah al-Fikr (kesatuan idea) dan Wahdah al-Amal (kesatuan tindakan) bagi mempertahankan institusi kesopanan dalam masyarakat kekal tanpa gangguan anasir kotor dan jelek.  Gagasan NGO Islam arusperdana yang dikenali sebagai PEMBELA membuat pelbagai usaha proaktif menangani isu ini mengikut saluran undang-undang dan dengan hikmah. Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) juga bernaung di bawah PEMBELA.

Karekter Pondan dalam siaran Radio dan Televisyen

PEMBELA  secara sebulat suara menentang LGBT.


PPMM melihat satu cubaan untuk menjadikan norma hidup  di media-media Malaysia hari ini ialah watak lelaki lembut bersuara wanita yang dibuat-buat. Watak sebegini   sering ditonjolkan di kaca-kaca televisyen dan radio, Watak ini juga dalam pemerhatian PPMM sering diselitkan antaranya dalam siaran televisyen yang bergenre komedi dan  ditonjolkan di corong-corong radio. Kini, apa yang dilihat, ia sedang berlaku di salah sebuah stesen radio terkenal apabila watak lelaki lembut, menjadi salah seorang penyampai utama di stesen radio terkenal tersebut.


Watak tersebut mungkin dari mata kasar hanya sekadar watak komedi namun secara tersiratnya, ia menggambarkan bahawa masyarakat sedang menerima 3 gender dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia iaitu, Lelaki, Perempuan dan Pondan/Transgender.

Lebih merbahaya adalah apabila adanya dialog-dialog yang mempunyai double meaning (dua maksud) yang digunakan oleh penyampai-penyampai radio juga pelakon-pelakon yang menunjukkan kecenderongan kehendak seksual si lelaki berwatak perempuan itu tadi. Dialog-dialog tersebut bukan sahaja tidak sopan untuk didengari, akan tetapi, ia akan lebih terkesan kepada masyarakat muda mudi kita, Kesannya kelak, kita akan dapat lihat, klausa-klausa dialog tersebut meniti di bibir-bibir belia remaja kita. Walaupun biasanya, dialog-dialog kurang sopan tersebut lebih kepada ingin menjadikan apa yang dibawa bersifat komedi, tetapi hakikatnya, ia memberi kesan negatif untuk jangka masa panjang kepada pendengar juga penonton.

PPMM melihat, walaupun tiada sokongan secara zahir kepada kumpulan penyokong LGBT dibuat oleh media-media elektronik arus perdana di Malaysia, akan tetapi secara tersiratnya, dengan adanya watak-watak pondan, lelaki lembut dan lain-lain, ia seolah-olah membantu kumpulan tersebut mempromosi cara hidup sedemikian. Pendekatan seperti ini hanya akan memperlihatkan kepada masyarakat sikap tidak ikhlas dan bermuka-muka pihak media dalam menangani isu serius ini.

Teguran Terbuka Kepada Media-Media Arus Perdana

PPMM meminta agar bukan sahaja stesen radio terkenal tersebut cuba memperbaiki modul siaran, begitu juga kepada penyiar-penyiar rakan media yang lain terutama media televisyen dan media cetak. Pastikan siaran tersebut menepati norma-norma hidup bermasyarakat yang tinggi dengan budaya dan adat ketimuran berdasarkan neraca al-Quran dan al-Sunnah.

Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadith:

“Bukan dari golongan kami siapa saja wanita yang menyerupai lelaki dan siapa saja lelaki yang menyerupai wanita.”(Musnad Ahmad, no: 6875 dengan sanad yang dinilai hasan oleh Ahmad Syakir)

Bahkan ‘Abdullah ibn ‘Abbas r.a. menerangkan bahawa:

“Rasulullah s.a.w. melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.” (Shahih al-Bukhari, no: 5546). Hadis-hadis larangan dalam bab ini juga diriwayatkan oleh Abu Hurairah dan Aisyah r.a.

Berdasarkan dua hadith Nabi s.a.w. di atas,  ulamak berpendapat bahawa lelaki dan wanita yang berusaha untuk menyerupai jantina yang berbeza dengannya adalah salah satu perbuatan haram lagi dibenci. Menyerupai di sini tidaklah hanya tingkah laku, akan tapi, cara hidup, penampilan, pakaian dan lain-lain lagi.

Dalam hal ini, kanak-kanak yang belum baligh juga tidak tertinggal dari hukum tersebut. Haram bagi ibu bapa kanak-kanak termasuk penjaga yang berusaha mengenakan pakaian perempuan kepada anak lelaki mereka, begitu juga sebaliknya, mengenakan pakaian lelaki kepada kanak-kanak perempuan.

Dr. Jamil bin Habib al-Luwaihiq menjelaskan:

“Apa-apa yang berlaku untuk orang lelaki dan wanita dalam bab ini, berlaku pula untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan. Maka tidak boleh mengenakan kepada kanak-kanak lelaki pakaian kanak-kanak perempuan atau mengenakan kepada kanak-kanak perempuan pakaian untuk kanak-kanak lelaki.” [al-Tasyabbuh al-Manhy ‘Anhu fi al-Fiqh al-Islami (edisi terjemahan oleh Asmuni dengan judul Tasyabbuh Yang Dilarang Dalam Fikih Islam; Darul Falah, Jakarta, 2007), ms. 138, Hafiz Firdaus Abdullah, Islam, Jantina dan Seks]

Melalui hadith-hadith tersebut, juga pandangan salah seorang ulama’ berkenaan isu LGBT ini, menunjukkan bahawa Islam benar-benar serius menangani dan mencegah perkara berhubung isu ini dari menular dalam urat masyarakat kita.

Jika kita tidak bersatu berganding bahu dalam mengubati, menangani dan mencegah gejala ini, PPMM berpendapat, Umat Islam akan melalui satu jalan sukar dan getir di masa hadapan kelak. Ini kerana apa yang PPMM lihat menjadi faktor semakin meningkatnya gejala LGBT ini adalah dari watak-watak yang ditonjolkan di dalam media seolah menyokong karekter yang dibawa pengamal LGBT ini.
Apapun, ini bukanlah satu-satunya kes yang memalukan, banyak lagi rancangan yang sengaja menonjolkan watak-watak pondan, gay, tomboy, pengkid dan lain-lain dalam media arus perdana kita.


Sekali lagi, PPMM berharap agar adanya gesaan dari pihak NGO lain dan pihak kerajaan melalui kementerian-kementerian terbabit untuk memantau gejala ini agar ia tidak terus menular dan dipandang biasa suatu hari nanti oleh seluruh masyarakat Malaysia.

PPMM juga meminta agar stesen-stesen radio dan televisyen menghentikan serta merta rancangan yang menyiarkan watak pondan, lelaki lembut dan lain-lain yang bercanggah dengan norma-norma masyarakat beragama serta menukar segmen siaran tersebut kepada yang lebih berobjektif menghidupkan sakhsiah masyarakat pendengar. Gesaan ini tidaklah terhenti kepada satu-satu stesen radio tertentu sahaja malah ia turut melibatkan seluruh pengamal media tempatan.

DATO’ HAJI ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

PRESIDEN

PERSATUAN PEGUAM PEGUAM MUSLIM MALAYSIA (PPMM)

March 23, 2012

Cabaran Dan Prospek Peguam Syarie

Filed under: Aku Di Dada Akhbar, Nukilanku..... — Zainul Rijal @ 7:40 pm

PROFESYEN GUAMAN SYARIE DI MALAYSIA: Cabaran & Prospek Generasi Baru.

Oleh: Dato’ Haji Zainul Rijal Bin Abu Bakar

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

(Adjunct Professor of Law, MMU)

Program: Ceramah Kerjaya Tamhidi Syariah dan Undang-Undang

1.0 MUKADDIMAH

Ketika menonton di kaca televisyen, seringkali kerjaya sebagai peguam (baik sivil mahupun syariah) digambarkan sebagai suatu bidang yang penuh dengan glamor dan mengujakan. Kebanyakan daripada kita apabila menonton televisyen sering disajikan dengan suasana perbicaraan mahkamah di mana para peguam mengemukakan hujah-hujah bernas yang mengejutkan hakim dan juga pihak lawan, dan akhirnya memenangi kes tersebut. Ada juga segelintir masyarakat yang mengatakan bahawa seorang peguam sudah pasti kaya dek kerana yuran khidmat guaman yang mahal dikenakan kepada anakguam mereka. Tetapi, adakah ini sebenarnya terjadi pada kehidupan harian seorang peguam?

Sebenarnya tidak, selain daripada imej mereka yang dipaparkan melalui drama televisyen, realitinya para peguam hanya menghabiskan sedikit masa berhujah di hadapan hakim (walaupun mereka mungkin menghabiskan banyak masa mereka menunggu di dalam dewan perbicaraan mahkamah sementara menanti hakim masuk ke dalam dewam untuk memulakan sidang kes atau menunggu giliran kes dipanggil). Bagi setiap jam yang dihabiskan di dalam dewan bicara mahkamah, para peguam sebenarnya menghabiskan lebih banyak masa mereka melakukan penyelidikan, menemubual anakguam dan juga menyiapkan dokumen-dokumen kes. Bahkan ramai di kalangan peguam langsung tidak pernah menjejakkan kaki ke mahkamah.

Peranan sebenar peguam adalah sangat penting tetapi sering dilihat sebagai hanya melibatkan urusan duniawi sahaja. Para peguam berperanan dalam menasihati anakguam mereka dalam pelbagai urusan perundangan termasuklah prosiding penceraian, jual beli hartanah, pengambilan anak angkat, kontrak, isu-isu cap dagang, prosiding jenayah dan juga prosiding sivil. Mereka adalah orang yang berperanan dalam menderaf dokumen-dokumen undang-undang, perunding kepada kontrak bagi pihak anakguam dan juga mewakili anakguan untuk menghadiri prosiding mahkamah. Tugasan-tugasan tersebut adalah merupakan peranan sebenar para peguam baik peguam sivil mahupun peguam syarie.

Pada kesempatan yang diberikan kepada saya ini, saya lebih cenderung untuk tidak menyenaraikan setiap cabaran yang dihadapi oleh para peguam seperti cabaran menghadapi era globalisasi, teknologi maklumat dan sebagainya. Saya sesungguhya percaya setiap orang yang berada di dalam dewan ini sedar akan cabaran sebenar yang dihadapi oleh para peguam dan tidak perlulah untuk saya perincikan satu persatu di sini. Sebaliknya saya akan lebih berkongsi mengenai cabaran dalam diri peguam sendiri. Saya amat yakin sekiranya anda dapat mengatasi setiap cabaran dan halangan tersebut, maka sudah tentu anda semua mampu untuk mengharungi segala rintangan tersebut.

Di dalam ucapan saya ini juga, saya tidak merancang untuk menyenaraikan bidang-bidang yang boleh diceburi oleh graduan undang-undang secara satu persatu. Sekiranya saya berbuat demikian, sudah tentu seperti saya memberi tunjuk ajar secara langsung kepada anda semua (spoon feeding) dan ia jelas bercanggah dengan semangat dan hasrat pengisian ucapan saya pada hari ini. Justeru, saya berharap di kesempatan yang ada ini, saya mampu untuk membuka perspektif dan paradigma anda untuk lebih kreatif dan berusaha keras di dalam mendepani bidang perundangan ini serta tidak merasa berada di dalam zon selesa.

Apa yang lebih penting, kita semua perlu yakin bahawa segala percaturan hidup kita sudah diatur rapi oleh Allah SWT. Namun, dalam masa yang sama kita tidak boleh menyerahkan hidup kita pada takdir semata-mata, seperti yang disebut di dalam kitab suci Al-Quran, tidak ada sesiapa yang boleh merubah diri masing-masing melainkan kita sendiri yang mengubahnya.

2.0 CABARAN YANG DIHADAPI OLEH PARA PEGUAM

Kehidupan seorang peguam di dalam bidang perundangan penuh dengan mehnah dan tribulasi; baik dari sudut cabaran mengejar tarikh akhir tugasan (deadlines), timbunan kes-kes yang bermasalah, pengendalian urusan firma dan pengendalian kerenah anakguam serta bebanan penyelidikan kes-kes – situasi-situasi tersebut adalah satu bebanan yang sangat berat untuk dipikul bagi sebilangan orang.

Selain daripada itu, profesyen perundangan kerap berhadapan dengan serangan dari pelbagai pihak termasuklah daripada saudara kita sendiri yang turut berada di dalam bidang ini. Saya juga ingin nyatakan di sini bahawa terdapat juga di kalangan peguam bermasalah dari sudut menjaga dan mengendalikan etika profesional.

Bagi diri saya sendiri sejak beramal 19 tahun lepas, kepuasan dan minat yang mendalam terhadap bidang perundangan ini tidak lagi seperti apa yang saya rasa dan alami sebelum ini. Kini, undang-undang lebih banyak diterjemah sebagai satu peluang perniagaan dan komersil, atau hanya sebagai satu kerjaya, dan ia bukan lagi dianggap sebagai satu profesyen yang mulia dan harus dimartabatkan.

Peguam yang ideal seharusnya mereka yang benar-benar cintakan undang-undang, sentiasa meletakkan kepentingan anakguam di dalam hati, peka dan cakna akan kepentingan serta perkembangan undang-undang. Apabila peguam mula memikirkan tentang soal wang dan keuntungan semata-mata, seperti berapa banyak caj yang akan dikenakan kepada anakguam, sekiranya kes ditangguhnya beberapa kali maka sudah tentu bayaran lebih akan dicajkan kepada anakguam hingga membolehkan mereka membeli kereta mewah dan bukannya kereta nasional, maka pada ketika itu pelbagai masalah akan mula timbul. Mutakhir ini, kecenderungan pada nilai wang seolah-olah telah mengatasi nilai-nilai etika dan moral yang telah biasa dipraktikkan sebelum ini. Pada pengamatan saya, mungkin terdapat keperluan untuk mengubah sistem pendidikan kita bagi meningkatkan piawaian ini.

Sidang hadirin sekalian,

Seorang peguam mestilah memahami sistem perundangan masa kini dengan menelusuri sejarah negara. Ini adalah disebabkan undang-undang itu sendiri bukan secara tiba-tiba muncul dari dalam lompang atau vakum tetapi mempunyai sebabnya yang tersendiri kenapa ianya digubal. Umpamanya, Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara yang mendasari setiap tindakan di dalam negara juga mempunyai sejarahnya tersendiri. Perlembagaan Persekutuan bukan tiba-tiba muncul pada saat negara mencapai kemerdekaan dahulu.

Perlembagaan Persekutuan hanya meneruskan kemahuan anak watan dan merupakan kesinambungan susunatur mesyarakat telah berlaku sebelum Perlembagaan tersebut digubal. Bukanlah sifat Perlembagaan itu mengenepikan apa yang telah diaturkan dan membuat aturan yang baru selepas kemerdekaan negara.

Hadirin hadirat yang saya hormati sekalian,

Seorang peguam yang berwibawa harus memiliki sifat ingin tahu kerana sifat ingin tahu tersebut akan membawa mereka pergi lebih jauh di dalam bidang yang mereka ceburi. Belajarlah tentang diri anda, kenali diri sendiri dan jangan hanya terlalu mengharapkan orang lain untuk membantu anda.

Peguam yang terkemuka bukanlah mereka yang tahu keseluruhan undang-undang yang ada namun adalah mereka yang tahu di mana untuk menggunapakai undang-undang yang relevan apabila berhadapan dengan sesuatu isu. Jangan salah anggap, sudah tentu apabila anda mengetahui undang-undang ia sangat membantu dalam menyelesaikan masalah anda, tapi perlu diketahui bahawa undang-undang sentiasa berkembang dan berubah dengan cepat, jadi anda semua harus mempunyai minat yang mendalam dalam mengkaji perubahan yang berlaku tersebut.

Sekiranya anda berhadapan dengan satu-satu isu untuk dikaji dan diteliti, anda perlu melihat ia secara lebih luas dari ruang lingkup isu tersebut. Jangan hanya fokuskan diri anda pada isu-isu perundangan yang mikro tapi anda harus memikirkan isu-isu tersebut secara makro hingga membolehkan anda bertindak luar daripada kotak kebiasaan. Ini semua adalah penting untuk diberi perhatian oleh anda semua sekiranya anda ingin maju dan berjaya.

Apabila anda menjadi graduan undang-undang kelak, setiap daripada anda sudah dipersiapkan dengan asas-asas kepeguaman, namun pembelajaran praktikal sebenar hanya akan anda tempuhi apabila anda mula memasuki bidang amalan kelak. Semua itu akan diperolehi daripada pemantauan, perbincangan dan perkongsian pengalaman dengan mereka yang sudah lama beramal di bidang perundangan ini. Justeru cabaran sebenar di dalam profesyen perundangan adalah benar-benar mencintai bidang undang-undang ini. Anda juga perlu kreatif jika mahu mencapai keadilan yang dikehendaki.

Sebagai seorang peguam Muslim, cabaran seterusnya yang harus dipikul oleh kita semua adalah untuk memartabatkan undang-undang Syariah dan meletakkan ia pada tempat yang sepatutnya. Dalam ertikata lain ialah mengarusperdanakan Syariah. Sebagai seorang mahasiswa yang dilatih dan ditarbiah dalam kedua-dua bidang baik sivil mahupun Syariah, anda punya kelebihan yang mana mahsiswa lain tidak memilikinya. Mahasiswa USIM berada pada posisi yang lebih baik apabila anda mengetahui dan menguasai kedua-dua bidang tersebut. Menjadi baik sahaja tidak lagi cukup sebagai tanda aras mahasiswa Islam, anda semua perlu menjadi cemerlang di dalam kedua-dua bidang tersebut.

Pada segelintir orang, menguasai undang-undang sivil dan syariah mungkin suatu keistimewaan di mana banyak di kalangan peguam di luar sana tidak memilikinya. Saya secara peribadi melihat ianya sebagai satu cabaran tambahan kepada mahasiswa mahasiswi USIM untuk membukikan kepada masyarakat di luar sana bahawa anda adalah bakal-bakal peguam yang terbaik bagi mewarnai bidang perundangan kelak. Memandangkan undang-undang Syariah dewasa ini menjadi semakin popular dan perhatian di kalangan rakyat Malaysia, baik Muslim atau bukan Muslim, penguasaan yang jitu di dalam undang-undang Syariah adalah sangat penting serta pemakaian prinsip-prinsip Syariah di dalan situasi moden kini adalah sangat-sangat menjadi keutamaan.

Mahasiswa mahasiswi sekalian,

Selain itu, seorang peguam Muslim haruslah menguasai kitab-kitab thurath. Bukan sahaja kitab-kitab thurath, tetapi juga kitab-kitab muasarah yang berfungsi mentafsirkan kitab thurath. Kitab thurath dan muasarah ini saling lengkap melengkapi dan mestilah dikuasai oleh seorang peguam khususnya Peguam Syarie. Di dalam konteks Malaysia pula, oleh kerana undang-undang Malaysia telah dikodifikasi, seorang peguam Syarie tidak boleh lari daripada memahami undang-undang bertulis Malaysia samaada undang-undang substantif ataupun prosedur.

Kaedah penafsiran undang-undang yang selaras dengan Hukum Syarak juga perlu dikuasai sepenuhnya bagi menjadi seorang peguam yang cemerlang.

Seharusnya seorang peguam yang baik tidak hanya berfungsi di dalam mahkamah sahaja tetapi juga di luar mahkamah. Peguam adalah suatu profesyen yang dihormati dan disanjungi, pandangan peguam seringkali menjadi rujukan dan ikutan. Dalam hal yang demikian sekiranya seorang peguam hanya memikirkan untuk memenuhkan kantung mereka sahaja maka amat malanglah masyarakat kita yang mendambakan peguam bagi menegakkan hak-hak mereka.

Peguam Muslim seharusnya mempunyai 10 ciri Muslim yang cemerlang seperti yang digariskan oleh Imam Hassan Al Banna iaitu:

1) Aqidah yang bersih (aqidah al salimah)

2) Ibadah yang sahih (sohih al ibadah)

3) Akhlaq yang kukuh (matin al hulqi)

4) Jasmani yang kuat (qowiy al jismi)

5) Berfikir secara intelektual (muthaqafu al fikri)

6) Berjuang melawan hawa nafsu (mujahadatun linafsihi)

7) Menjaga waktu (haarisun ala waqtihi)

8) Bersistem dalam urusan (munazzomun fi syu’unihi)

9) Memiliki kemmpuan usaha sendiri (qodirun ala kasbihi)

10) Memberi manfaat kepada orang lain (naafiun lighairihi)

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, ada di kalangan peguam yang hanyut dibuai arus kemewahan sehingga meminggirkan keadilan. Peguam sebegini tidak melihat keadilan sebagai matlamat tetapi kemenangan setiap kes menjadi ukuran kejayaan mereka. Seorang peguam Muslim yang baik hendaklah mempunyai cinta yang mendalam terhadap undang-undang Syariah dan cuba sedaya upaya memajukan undang-undang tersebut dengan interpretasi yang tepat dan sesuai. Dengan cara ini bukan sahaja undang-undang itu dapat ditegakkan seadilnya tetapi juga ia akan menjadi ikutan pada masa hadapan.

Cabaran kepada para peguam khususnya peguam Muslim kini sebenarnya bukan sahaja di dalam memahami Hukum Syarak tetapi juga menangani dengan penuh hikmah orang yang menentang perundangan Syariah sama ada di kalangan umat Islam atau mereka yang bukan Islam. Isu-isu pluralism agama, sekularisme, hak asasi manusia dan campurtangan asing bukanlah isu yang boleh dikesampingkan oleh peguam Muslim. Peguam Muslim perlu bangkit bersama-sama untuk menjelaskan dari sudut perspektif Islam apakah hakikat yang sebenarnya.

Seterusnya, pada ketika ini adalah amat tidak mencukupi bagi seorang peguam hanya menguasai hukum hakam agama sahaja. Peguam yang baik harus juga memahami dan menguasai bidang prosedur mahkamah, perbankan Islam dan konvensional, perubatan Islam, dakwah, perbandingan agama dan banyak lagi. Ini adalah disebabkan tuntutan dan penghormatan terhadap peguam Muslim di Malaysia semakin hari semakin besar dan anda selaku bakal-bakal peguam perlu bersedia ke arah itu.

Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab para peguam Muslim untuk memperkenalkan serta mempromosikan undang-undang syariah sebagai undang-undang yang lebih adil dan lebih baik daripada undang-undang sivil. Kaedah-kaedah tafsiran ilmu syariah dan juga falsafah Syariah perlu dikaji agar sesuai dengan kehendak zaman sekarang.

Sehubungan itu anda semua haruslah mempersiapkan diri anda untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran tersebut, dan tidak ada cara lain untuk menghadapinya melainkan perlunya untuk berusaha dengan lebih cekal dan gigih lagi.

3.0 PROSPEK DI DALAM PROFESYEN UNDANG-UNDANG

Sesungguhnya kerjaya sebagai peguam adalah satu profesyen yang sukar dan mencabar, namun perlu dijelaskan di sini bahawa prospek kerjaya di dalam bidang ini masih cerah dan relevan untuk diceburi. Untuk menjadi seorang peguam yang bagus, anda mestilah mempunyai minat yang mendalam serta mampu bertutur dan berhujah dengan baik. Apabila anda membaca sesuatu isu, atau menerima sesuatu kes, anda haruslah mempunyai sifat ingin tahu yang mendalam serta bersemangat untuk mendapatkan jawapan pada setiap isu yang timbul. Bukan hanya seperti segelintir peguam lain, mereka hanya sekadar mensasarkan target perniagaan mereka sahaja. Anda seharusnya meletakkan tugas peguam ini sebagai satu profesyen dan bukan hanya demi kepentingan perniagaan semata-mata. Mungkin agak keterlaluan jika saya katakan bahawa anda seharusnya meletakkan imbuhan kewangan sebagai sesuatu sampingan namun pada saya, itu adalah sesuatu yang perlu jika anda benar-benar ikhlas untuk menjadikan bidang guaman ini sebagai satu profesyen. Apa yang lebih utama perlu ada pada diri seorang peguam adalah berusaha untuk memartabatkan undang-undang dan bukanlah mengejar keuntungan semata-mata. Inshaallah dunia akan mengejar anda sekiranya anda benar benar ikhlas dalam membantu agama Allah.

Apabila saya mula-mula menjadi pelatih dalam kamar (chambering) pada 19 tahun lepas, tidak pernah terlintas dalam diri saya bahawa saya mampu bertahan memandangkan hanya saya saja seorang Melayu Muslim di firma berkenaan. Namun atas galakan ibu bapa dan keluarga akhirnya saya mampu membuktikan bahawa saya adalah setara bahkan lebih jika dibandingkan dengan peguam-peguam lain di dalam firma tersebut tanpa berkompromi terhadap latar belakang agama saya. Bagi saya, apabila anda mampu untuk menunjukkan bahawa anda sebenarnya berbeza daripada peguam yang lain, anda seharusnya tidak perlu gusar akan kedudukan anda. Dengan izin Allah, anda pasti mampu untuk terus bertahan dan diberi ganjaran sewajarnya daripada Allah SWT.

Sidang hadirin yang saya hormati,

Ramai di kalangan graduan undang-undang apabila tamat belajar tidak langsung beramal di bidang perundangan. Kemahiran-kemahiran yang dilatih ketika menjadi mahasiswa undang-undang banyak membantu anda untuk menceburi bidang lain ketika berada di alam pekerjaan. Selain memiliki bakat di dalam menulis, perbincangan kaunseling dan kemahiran menyelidik, graduan undang-undang mempunyai keupayaan untuk menganalisa sesuatu fakta dan kemahiran menyelesaikan masalah. Graduan undang-undang juga mempunyai kemahiran dalam mengenalpasti isu dan risiko undang-undang.

Menjadikan profesyen perundangan sebagai kerjaya memberi ruang yang luas kepada para peguam untuk fokus pada bidang yang mereka minati serta seterusnya menjadi pakar dalam bidang-bidang tersebut. Sebagai seorang bakal mahasiswa undang-undang, fokus anda haruslah tertumpu pada membuat keputusan adakah jurusan undang-undang benar-benar sesuai untuk anda dan seterusnya mempersiapkan diri masing-masing agar kelak diterima sebagai pelatih dalam kamar di dalam jurusan undang-undang.

Dalam masa yang sama, jangan abaikan aktiviti luar kuliah yang boleh membantu untuk memperkemaskan kemahiran insaniah anda. Sertailah aktiviti ko-kurikulum, persatuan mahsiswa undang-undang, aktiviti keagamaan, seni pertahankan diri serta lain-lain aktiviti lagi demi mengasah bakat anda menjadi mahasiswa undang-undang yang cemerlang tanpa mengabaikan tanggungjawab selaku khalifah di muka bumi Allah ini.

Sebagai seorang peguam, anda tidak perlu terlalu risau akan prospek kerjaya di dalam profesyen perundangan. Sekiranya anda mampu buktikan bahawa anda adalah lebih baik daripada peguam-peguam lain, tidak akan ada masalah untuk anda gagal atau kecundang ketika bersaing di dalam profesyen ini kelak.

4.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, profesyen perundangan adalah profesyen yang dipenuhi dengan pelbagai cabaran dan onak liku baik dari dalam mahupun luaran. Sungguhpun berhadapan dengan cabaran dan ujian, kerjaya sebagai peguam mempunyai prospek yang cerah untuk diceburi bagi mereka yang mempunyai sikap yang positif terhadap profesyen ini. Sebagai pengamal undang-undang baik sivil dan syariah, saya ingin mengajak dan mengalu-alukan anda semua menjadi sebahagian daripada keluarga besar profesyen guaman yang unik serta mulia ini. Sama-sama kita menyumbang untuk menambahbaik profesyen yang amat disanjungi ini. Adalah menjadi tanggungjawab kita khususnya peguam Muslim bagi memartabatkan profesyen ini demi mencapai matlamat hidup kita iaitu ”mardhatillah”.

Mewakili Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), kami sangat berbangga menerima anda semua sebagai sebahagian daripada keluarga besar kami. Peluang dan ruang sentiasa terbuka untuk anda dan kami berharap suatu hari nanti kita dapat saling bekerjasama demi memartabatkan agama Islam yang kita cintai ini.

Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menjemput saya berkongsi ilmu dan pengalaman di dalam program ini.

Sekian, terima kasih.

March 22, 2012

Tujuh Wasiat Raja Raja Melayu

Filed under: Aku Di Dada Akhbar, Nukilanku..... — Zainul Rijal @ 6:48 am

HAK keistimewaan orang Melayu dan kedudukan tinggi agama Islam sebenarnya mempunyai susur galur sejarah yang besar sehingga ia diabsahkan dalam Perlembagaan Persekutuan ketika negara mencapai kemerdekaan. Keistimewaan orang Melayu sebenarnya tidak menghalang hak kaum lain atau menindas mereka. Ia bukan dalam erti kata tuan dan hamba tetapi lebih kepada penghormatan sebagai anak watan.

Toleransi yang dicapai antara kaum di antara pimpinan kaum di Malaysia. Kontrak sosial yang dicapai antara kaum sebelum merdeka sering dilupai sehingga menuntut Raja-Raja Melayu beberapa kali mengingatkan kita sejak kebelakangan ini. Begitu juga kedudukan tinggi agama Islam tidak menindas masyarakat bukan Islam mengamalkan agama mereka. Hakikat inilah yang menzahirkan Raja Raja Melayu menzahirkan 7 Wasiat Raja Raja Melayu bagi menjadi panduan kepada rakyat jelata. 7 wasiat tersebut adalah:

1. Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia

2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytiharkan dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung ganang tasek dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;

3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman luar nagara;

4. Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini;

5. Kami isytiharkan Islam adalah Agama Persekutuan;

6. Kami tetapkan tetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu

7. Kami amanahkan dan kami pertangangungjawabkan kepada Raja Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, hak istimewa orang Melayu Bumiputera Sabah dan Sarawak, kedudukan istimewa Islam dan Raja-Raja Melayu terletak di tempat tinggi sehinggakan peruntukan perlembagaan berhubung perkara ini tidak boleh dipinda walaupun mendapat sokongan dua pertiga Parlimen. Ini disebabkan pekenan Majlis Raja-Raja diperlukan sebelum usul pindaan dibentangkan di Parlimen. Hal yang demikian menjadi banteng kepada negara daripada cubaan menganggu gugat kedudukan istimewa Islam dan Raja Raja Melayu.

Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diluluskan pindaannya tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Oleh itu sebarang hasrat yang ingin diusulkan bagi meminda perkara tertentu mestilah terlebih dulu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja sebelum dibentang di Parlimen.

Kekuatan Perkara 159 ini bukan saja menghalang pindaan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan tanpa terlebih dulu mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja, apatah lagi sekiranya langsung tidak menghiraukan atau melanggar peruntukan Perlembagaan berkenaan. Perkara yang ingin dipinda ini termasuklah kedudukan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan, kududukan ketua agama undang-undang Islam dan juga mahkamah syariah.

Ia juga mencakupi hal ehwal berkaitan pewartaan kuota itu dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak. Perkara 153 juga mengisytiharkan adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain.

Begitu juga Yang di-Pertuan Agong boleh memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain.

Malah dalam mana-mana universiti, kolej dan institusi pendidikan lain yang memberikan pendidikan selepas Sijil Pelajaran Malaysia atau setaraf dengannya, bilangan tempat ditawarkan pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pengurusan universiti, kolej atau institusi pendidikan itu kepada calon bagi apa-apa kursus pengajian adalah kurang daripada bilangan calon layak mendapat tempat itu, adalah sah bagi Yang di-Pertuan Agong memberikan arahan yang perlu kepada kerajaan bagi memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak seperti difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong; dan kerajaan hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

Kesemua hak dinyatakan di atas dijamin Perlembagaan Persekutuan sendiri dan sekiranya hak itu, termasuklah hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak mendapat biasiswa dan kemasukan ke menara gading hendak dipinda, persetujuan Majlis Raja-Raja perlulah diperoleh sebelum pindaan itu dibuat. Sekiranya ia dipinda tanpa perkenan Majlis Raja-Raja, maka pindaan itu akan menjadi tidak sah. Jika pindaan pun tidak dibenarkan tanpa perkenan Raja-Raja Melayu, apatah lagi tidak menghiraukan keistimewaan itu ataupun membuat perkara yang bertentangan dengan keistimewaan itu.

Begitulah besarnya peranan Raja-Raja Melayu sebagai pelindung hak istimewa Islam dan pribumi di Malaysia. Baginda Raja-Raja Melayu adalah payung melindungi kepentingan Islam dan orang Melayu. Tidak hairanlah sejak kebelakangan ini Raja-Raja Melayu menzahirkan tanggungjawab berperlembagaan baginda mempertahankan hak istimewa Islam dan orang Melayu. Raja-Raja Melayu adalah benteng terakhir mempertahankan agama Islam dan hak istimewa Melayu di Malaysia.

Janganlah mempersoalkan lagi keistimewaan diberi kepada orang Melayu serta kedudukan tinggi agama Islam dalam negara kita. Ia sudah tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan dan hendaklah dihormati. Sebagai undang-undang tertinggi negara, Perlembagaan Persekutuan mesti dipertahan. Kerajaan perlu akur kedudukan ini dan tidak sewenang-wenangnya menutup mata terhadap peruntukan perlembagaan. Mempertahankan keluhuran perlembagaan adalah tanggungjawab bersama.

Kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu bukanlah sekadar istiadat atau ceremonial semata-mata, tetapi mempunyai kuasa tertentu yang menjadi elemen penting kepada jatidiri pembentukan negara. Kuasa ini perlulah dijalankan oleh baginda Raja-Raja Melayu  selaras dengan peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Penulis ialah Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia. (PPMM)

Older Posts »

Powered by WordPress